Orang Kurang Upaya Kini Tiada Suara Di Parlimen, Jangan Dilupa Aspirasi Demokrasi Inklusif

Dikeluarkan Bersama Oleh Boleh Space dan SIUMAN

30 Mei 2023

Hari ini menyaksikan hari kesebelas kami, komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) tidak  diwakilkan oleh mana-mana Senator di Dewan Negara setelah tamat 3 tahun Datuk Ras Adiba Mohd Radzi berkhidmat sebagai Senator yang mewakili OKU. Sehingga ke hari ini, masih tiada apa-apa pengumuman daripada pihak Kerajaan Malaysia Madani sama ada mengenai proses pelantikan senator mewakili OKU bagi mengisi kekosongan tersebut mahupun sama ada tempoh perkhidmatan Senator ketiga yang mewakili OKU itu dilanjutkan. Kekosongan tersebut tidak wajar dibiarkan berpanjangan sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

Setelah pemergian Prof. Datuk Dr. Ismail Md Salleh pada tahun 2009, kami, komuniti OKU Malaysia terpaksa menunggu selama 4 tahun sebelum Puan Bathmavathi Krishnan dilantik sebagai senator kedua mewakili OKU di Dewan Negara pada November 2013. Tambahan pula setelah Puan Bathmavathi menamatkan penggal kedua beliau pada November 2019, pelantikan senator ketiga yang memegang portfolio OKU mengambil masa beberapa bulan. Sewajarnya, proses pencalonan, termasuklah pencalonan semula serta proses penilaian calon hendaklah bermula pada masa yang lebih awal bagi memastikan komuniti OKU sentiasa mempunyai wakil di Parlimen sebagaimana rakyat Malaysia lain diwakili.

Selain itu, proses pencalonan dan penilaian calon-calon senator seolah-olah sesuatu yang sulit. Perkara ini bertentangan dengan prinsip ketelusan serta kebertanggungjawaban. Pemilihan dan pelantikan Senator mewakili OKU tidak seharusnya dilakukan semata-mata berdasarkan politik identiti yang dangkal. Hanya jika seseorang calon itu merupakan OKU, tidak semestinya calon tersebut mampu mewakili kami secara berkesan. Sebaliknya, pemilihan dan pelantikan senator mewakili OKU hendaklah berdasarkan kualiti-kualiti penting sebagai suara utama kami di Parlimen.

Dalam kenyataan media Boleh Space bertarikh 18 Februari 2023 serta terjemahannya bertarikh 6 Mac 2023 yang dikeluarkan bersama Boleh Space, SIUMAN serta beberapa organisasi OKU menyarankan supaya Kerajaan Malaysia Madani menambah baik proses pencalonan, saringan dan pelantikan secara terbuka dan telus bagi jawatan-jawatan Senator mewakili OKU, ahli-ahli Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) serta ahli-ahli Jawatankuasa-jawatankuasa Teknikal dibawah MKBOKU.

Kami mengulangi saranan supaya proses pencalonan, pencalonan semula serta penilaian calon-calon Senator mewakili OKU hendaklah berlangsung secara terbuka, telus dan bertanggungjawab. Kerajaan Malaysia Madani perlu jelas, komited dan tegas dalam hal ini. Kerajaan Malaysia Madani perlu melihat perkara ini sebagai sebahagian daripada isu-isu kritikal dalam agenda reformasi institusi. Kami menggesa Kerajaan Malaysia Madani untuk mengambil langkah-langkah awal berikut:

  1. Proses dan maklumat berhubung pencalonan hendaklah dibuat secara terbuka, mudah difahami serta dalam format yang boleh diakses oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk OKU. Kami berhak mengetahui bila dan bagaimana proses tersebut berlaku. Panggilan pencalonan hendaklah disebar menerusi pelbagai saluran media, termasuklah media sosial.
  2. Maklumat profil setiap calon hendaklah dikongsikan dengan khalayak umum melalui platform yang mudah diakses oleh orang awam, terutamanya OKU. Pihak Kerajaan boleh mencontohi Suruhanjaya Pilihan Raya Australia dalam perkara ini bukan sahaja bagi maklumat profil calon-calon Senator mewakili OKU tetapi juga calon-calon bukan OKU supaya proses sistem pencalonan ahli-ahli senator lebih terbuka.
  3. Proses pemilihan dan penilaian calon-calon senator hendaklah disiarkan kepada khalayak umum menerusi medium yang boleh diakses oleh semua termasuk OKU sebagaimana sidang Parlimen dan Mesyuarat Khas Dewan Negara. Medium ini termasuklah medium penerbitan, televisyen, digital dan media sosial. Aspek kebolehcapaian, seperti penyediaan Juru-Bahasa Isyarat Malaysia dan sari kata, hendaklah menjadi antara ciri yang terkandung dalam siaran sepanjang siaran tersebut dihebahkan.
  4. Pihak Kerajaan juga hendaklah mewujudkan suatu jawatankuasa bebas yang akan menilai calon-calon senator. Sekurang-kurangnya 75% daripada jumlah ahli jawatankuasa penilaian dan pemilihan Senator mewakili OKU ini hendaklah dalam kalangan OKU yang berkepakaran dan berpengalaman dalam hal ehwal OKU. Ahli-ahli jawatankuasa juga hendaklah mengisytiharkan sebarang bentuk konflik kepentingan, sekiranya ada.
  5. Ingin kami mengingatkan pihak Kerajaan bahawa hanya SEORANG yang membawa suara kami dalam keseluruhan Parlimen. Jika mengikut Dasar 1% OKU, sepatutnya TIGA orang Senator yang mewakili OKU yang membolehkan sehingga tiga daripada keseluruhan tujuh kategori OKU di Malaysia diwakili pada satu-satu masa di Parlimen.

Kami mahukan wakil yang benar-benar mampu bersuara bagi komuniti OKU. Kami berhak dan perlu dilibatkan secara lebih bermakna dalam proses menentukan wakil kami. Hal ini sejajar Artikel 29(b) Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CRPD). Atas semangat yang sama, Kerajaan juga perlu mengambil kira pandangan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Mengenai Hak Orang Kurang Upaya Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Komentar umum No. 7 (2018) mengenai penglibatan orang kurang upaya, termasuk kanak-kanak kurang upaya, menerusi pertubuhan-pertubuhan yang mewakili mereka, dalam pelaksanaan serta pemantauan CRPD.

Sejajar dengan komitmen yang diberikan oleh Kerajaan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan 2030, adalah sangat penting bagi Kerajaan mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang adil, aman dan inklusif (Matlamat 16). Kerajaan perlu membuktikan iltizam bagi merealisasikan sasaran 16.6 dan 16.7.

Dengan itu,  Kerajaan Malaysia yang Madani  adalah permulaan kepada Kerajaan Malaysia yang melibatkan komuniti OKU dalam semua proses keputusan yang melibatkan kami, setimpal dengan ucapan ulung Perdana Menteri yang mengatakan “Tiada sesiapa yang akan dipinggirkan di bawah kerajaan saya” dan juga sejajar dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan 2030 iaitu memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal.

Tentang Kami

Boleh Space merupakan perusahaan sosial serta pergerakan advokasi dan kesedaran Hak-hak Orang Kurang Upaya yang dipimpin 100% oleh Orang Kurang Upaya

Rangkaian Solidariti Demokratik Pesakit Mental (SIUMAN) merupakan kolektif pesakit mental dan rakan sekutu yang berjuang untuk kesetaraan dan kesaksamaan sosioekonomi & politik untuk pesakit mental.