Kenyataan Media Mengenai JKMPay

OKU berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menwujudkan tambahan Elaun Orang Kurang Upaya (EPOKU) bagi menggalakkan OKU bekerja. EPOKU tersebut yang diberikan dalam bentuk tunai ataui dikreditkan ke akaun penerima telah sekian lama banyak membantu mengurangkan beban OKU untuk menampung perbelanjaan seharian yang makin menaik.

Program JKMPay (“Projek Bayaran Bantuan Bulanan Tanpa Tunai JKM”) yang dilancarkan pada 9 April 2021, dimana Elaun bantuan diberi secara wang tunai (50%) dan kredit di dalam Kad Cashless JKMPay (50%) sangat mengecewakan dan telah mewujudkan kesukaran kepada komuniti OKU iaitu:

  1. Penambahan kos pengangkutan bagi OKU untuk membeli barang hanya di kedai yang berdaftar dengan Bank Islam.
  2. Menyusahkan OKU terutamanya yang mengalami pelbagai kesukaran dalam aspek mobiliti, akses kepada kemudahan, serta sistem sokongan sosial.
  3. Bagi OKU di luar bandar, tidak ada /tidak banyak kedai-kedai panel JKM atau yang berdaftar dengan Bank Islam untuk mereka menggunakan bantuan melalui JKMPay.
  4. Begitu juga bagi mereka yang tinggal di bandar, kebanyakan penerima bantuan tinggal di rumah pangsa atau di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Jika sebelum ini mereka boleh membeli barangan keperluan dan ubat-ubatan dari mana-mana kedai yang berhampiran rumah atau di bangunan rumah pangsa mereka sendiri, cuba bayangkan mereka kini terpaksa bersusah-payah untuk pergi ke kedai-kedai berdaftar yang mungkin terletak jauh dari tempat tinggal mereka, sekaligus terpaksa menanggung kos tambahan untuk pengangkutan.
  5. Tambah membebankan bagi mereka yang bermasalah mobiliti dan berkerusi roda serta tidak mempunyai kenderaan. Pergerakan mereka terhad disebabkan sistem pengangkutan dan persekitaran yang tidak aksesibel sejak sekian lama, begitu juga kedai-kedai berdaftar yang belum tentu menyediakan kemudahan laluan mesra-OKU.

Jadi bagaimanakah JKMPay ini dikatakan cuba memudahkan kehidupan OKU?

Kerajaan sering mewar-warkan konsep Keluarga Malaysia dan tiada sesiapa yang akan terpinggir, namun dari segi pelaksanaan JKMPay ini, realitinya berbeza di mana pandangan golongan OKU telah dipinggirkan sama sekali. Keputusan yang diambil secara ‘unilateral dengan tidak mengambilkira pandangan golongan OKU yang merupakan pemegang taruh yang terkesan secara langsung oleh projek ini tidak ubah seperti ‘dictatorship yang jelas bertentangan dengan Artikel 4 Klausa 3 dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Asasi Manusia bagi Orang Kurang Upaya (UNCRPD). Pendekatan ini secara terang-terangan mendiskriminasi dan menindas golongan OKU yang sudah sedia susah, dan semakin disusahkan lagi oleh sistem bantuan yang membebankan OKU sebagai kumpulan sasaran. Lebih menyedihkan kami diperlakukan sebegini di kala Malaysia menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia di PBB.

Kenyataan kami ini adalah senada dengan memorandum yang disediakan oleh “Independent Living & Training Centre Malaysia” dan diserahkan lebih kurang 50 OKU dari 13 NGO OKU kepada Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Siti Zailah pada 25 Januari serta petisyen bertajuk “Berikan kebebasan kepada Orang Kurang Upaya. Hentikan Projek JKMPAY!” yang dilaksanakan oleh Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat Selangor & Wilayah Persekutuan yang kini telah mencapai lebih lima ribu tandatangan.

Kami merasa amat kecewa di atas pelaksanaan JKMPay dan mendesak pihak KPWKM mengekalkan semula pembayaran elaun pekerja OKU (EPOKU) dan bantuan lain secara wang tunai keseluruhannya. Adalah menjadi kewajipan KPWKM untuk melibatkan wakil komuniti OKU dalam setiap perbincangan dan perubahan dasar serta mekanisme berkaitan komuniti OKU. Sila bertanya dan berbincang terlebih dahulu dengan kami mengenai keperluan kami seperti yang disarankan oleh YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi

“Tiada tentang Kami, Tanpa Kami” (“Nothing about Us, Without Us”).

Kami juga menuntut agar pihak KPWKM menubuhkan satu jawatankuasa khas dengan kadar segera yang melibatkan pemimpin-pemimpin OKU untuk mengkaji semula dan menghentikan disiriminasi dalam pelaksanaan Projek Rintis ini. Keputusan yang dibuat mesti mengambilkira pandangan OKU sebagai pemegang taruh yang penting.

Akhir sekali, kami membantah keras dan menolak pelaksanaan JKMPay ini yang jelas suatu penganiayaan terhadap golongan OKU dan menuntut agar ianya dihentikan serta-merta.

Baca Kenyataan Media serta senarai penuh organisasi dan individu advokat OKU yang menyokong disini