Lima Saranan untuk Malaysia Madani berkaitan Hak-Hak Orang Kurang Upaya


Pada 19 Januari 2023, Perdana Menteri Malaysia ke-10, Yang Amat Berhormat Dato’
Seri Anwar Ibrahim telah memperkenal dan melancarkan agenda Malaysia Madani
sebagai agenda besar nasional pentadbiran beliau. Rakyat tanpa mengira latar
belakang sosial dan ekonomi menyambut baik aspirasi beliau yang bersifat proaktif,
progresif serta tepat pada masanya.

Dalam amanat beliau, Y.A.B. Perdana Menteri menyentuh pelbagai perkara penting,
termasuk tatakelola yang baik dan demokratik, keadilan sosial, pemartabatan maruah
rakyat, ekonomi manusiawi dan aspek-aspek kritikal lain.

Y.A.B. Perdana Menteri dengan jelas dan tegas memetakan halatuju negara dengan
keutamaan-keutamaan signifikan yang merentasi dimensi politik, sosial, ekonomi, alam
sekitar serta teknologi. Aspirasi Malaysia Madani benar-benar menyentuh isu-isu dan
keperluan rakyat, khususnya mereka yang terpinggir, termasuk orang kurang upaya.

Setelah meneliti kandungan agenda Malaysia Madani, Kami melihat peluang lebih luas
bagi pihak Kerajaan Malaysia menjayakan perangkuman orang kurang upaya dalam
pembangunan negara.

Justeru, Kami menggesa Kerajaan Malaysia mengambil lima (5) tindakan berikut:

  1. Menaik taraf Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU) ke jabatan penuh di bawah
    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
    dengan sekurang-kurangnya 50% pegawai serta pekerja OKU. Sekiranya tiada
    OKU berkelayakan untuk menjadi Pengarah, sasarkan supaya OKU menjadi
    Pengarah JPOKU dalam tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun.
  2. Mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Orang Kurang Upaya di
    Parlimen dan membentangkan Laporan Penuh Pelan Tindakan OKU 2016-2022.
  3. Menubuhkan Unit Hal Ehwal OKU di bawah Pejabat Ketua Setiausaha setiap
    Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Unit Hal Ehwal OKU ini
    berperanan untuk;
    a. Merealisasikan Dasar 1% OKU berkhidmat dalam setiap kementerian
    serta kerajaan negeri.
    b. Membantu dari segi nasihat serta sokongan kepada ketua bahagian yang
    baru mengambil pekerja OKU serta pekerja OKU sendiri
    c. Memastikan kementerian serta kerajaan negeri menjalankan dasar-dasar
    berkaitan OKU seperti Pelan Tindakan OKU 2016-2022, Akta OKU 2008,
    UBBL34A, Zero Reject Policy di sekolah serta Dasar Pendidikan Inklusif di
    IPTA.
  4. Menubuhkan Suruhanjaya Hak Orang Kurang Upaya dengan ahli-ahli
    suruhanjaya tersebut dilantik dalam kalangan OKU berkelayakan dengan setiap
    ahli mewakili kategori OKU yang berbeza. Suruhanjaya ini berperanan untuk
    mempergiat pendidikan hak asasi OKU, menasihati dasar dan perundangan, dan
    melakukan penyiasatan. Ini untuk memastikan hak-hak OKU di Malaysia
    diperjuangkan dan setiap pelanggaran hak OKU disiasat dan diselesaikan.
  5. Menambah bilangan Senator mewakili Orang Kurang Upaya daripada kategori
    OKU berbeza. Menambah baik proses pencalonan, saringan dan pelantikan
    secara terbuka dan telus bagi jawatan-jawatan Senator wakil Orang Kurang
    Upaya, ahli-ahli Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) serta
    ahli-ahli Jawatankuasa-jawatankuasa teknikal dibawah MKBOKU. Menyediakan
    sistem direktori supaya Senator, ahli-ahli MKBOKU serta ahli-ahli Jawatankuasajawatankuasa teknikal boleh dihubungi secara terbuka.

Pemerkasaan, pembangunan dan perangkuman orang kurang upaya hendaklah diabadikan sebagai sebahagian daripada tunjang serta iltizam Malaysia Madani.

Peradaban yang gemilang perlu diukur pada kejayaannya mengiktiraf dan merangkumi kepelbagaian.

Pentadbiran yang baik perlu diukur pada kemampuannya menyokong serta merangkumi kumpulan rakyat yang paling tertindas.

Boleh Space
Pergerakan Advokasi Hak-hak Orang Kurang Upaya Malaysia
Untuk maklumat lanjut, hubungi: Yana Karim, Pengasas bersama Boleh Space